Terjatuh Di Rumah Pengasuh, Bayi Meninggal Dunia Selepas Empat Hari

Diterbitkan: Isnin, 31 Julai 2017 4:38 PM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Seorang bayi perempuan berusia 15 bulan yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Padang Serai, Kulim Jumaat lepas, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah di sini pada Ahad.

Hayfa Afrina Mohd Nasri meninggal dunia pada 3.40 petang selepas tiga hari dirawat di hospital berkenaan.

Bapanya Mohd Nasri Mohd Yusof, 26 berkata sehari sebelum ditemui tidak sedarkan diri, pengasuh memberitahu anaknya itu terjatuh ketika bermain.

"Pengasuh kata anak terjatuh pada petang Khamis ketika bermain dan ada kesan lebam di dahi kanan, tetapi saya tak tahu kena apa dan bila luka itu terjadi, " katanya ketika ditemui Bernama di bilik mayat hospital itu pada Isnin.

Menurut anggota Bomba dan Penyelamat Kulim itu, dia tidak membawa anaknya untuk pemeriksaan doktor memandangkan Hayfa Afrina tidak menunjukkan sebarang keganjilan dan kembali menghantarnya ke rumah pengasuh pada pagi Jumaat.

Bagaimanapun, katanya pada sebelah petang dia dimaklumkan oleh pengasuh yang berusia 20-an  itu menerusi aplikasi WhatsApp yang Hayfa Afrina tidak sedarkan diri.

"Saya bergegas ke rumah pengasuh yang juga jiran kami sebelum melihat anak tunggal saya sudah tidak sedarkan diri dan membawanya ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun anak saya dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah pada hari sama sebelum meninggal dunia pukul 3.40 petang semalam (Ahad)," katanya.

Dia berkata, jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Naya di Arau, Perlis petang Isnin.

Sementara itu,  Ketua Polis Daerah Kulim Supritendan Ahmad Nasir Jaafar mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Kita masih menunggu hasil laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kejadian dan telah meminta pengasuh tersebut untuk hadir ke balai bagi memberi kenyataan. Ini  bagi menyiasat sekiranya terdapat unsur-unsur kecuaian di atas kematian mangsa," katanya.

Tags / Kata Kunci: pengasuh

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan