Langgar Peragut Sampai Maut - Berita Jenayah | mStar

Langgar Peragut Sampai Maut

Diterbitkan: Ahad, 30 Julai 2017 2:44 PM

Mangsa mengejar suspek kira-kira 3km sebelum merempuh motosikal suspek berhampiran dengan lampu isyarat.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang peragut menemui ajal apabila mangsanya bertindak mengejar dan melanggar peragut dengan kereta di Seri Kembangan dekat sini awal pagi Ahad.

Mangsa peragut merupakan seorang warga Yaman yang begnya diragut di sebuah restoran.

Kejadian berlaku kira-kira 3.30 pagi ketika si peragut yang berusia 25 tahun melarikan diri dengan sebuah motosikal setelah meragut mangsa, namun dia telah dikejar mangsanya dengan sebuah kereta sejauh tiga kilometer.

“Apabila  tiba di persimpangan lampu isyarat di Pangsapuri One South, mangsa ragut yang berusia 20-an telah bertindak melanggar motosikal suspek.

“Akibatnya suspek maut ekoran kecederaan parah di kepala dan beg kepunyaan mangsa yang diragut juga dijumpai pada suspek,” kata Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Megat Mohd Aminuddin Megat Alias dalam satu kenyataan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati si peragut mempunyai rekod jenayah lampau.

“Mayat suspek kini dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat sementara lelaki warga Yaman itu direman untuk membantu siasatan,” katanya. - Bernama


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan