Maut Ketika Bermain Mercun - Berita Jenayah | mStar

Maut Ketika Bermain Mercun

Diterbitkan: Ahad, 25 Jun 2017 11:40 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Seorang pelajar lelaki berusia 12 tahun maut akibat kecederaan di kepala selepas berlaku letupan kuat ketika dia bermain mercun di Kampung Bintawa Hilir dekat sini malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata kejadian berlaku kira-kira 12.15 tengah malam apabila bapa budak lelaki itu terdengar letupan kuat di luar dan mendapati anaknya itu terbaring dan tidak bernyawa.

"Ketika itu Haiqal Hakim Zolpaka pelajar Sekolah Kebangsaan Matu Baru dikatakan bermain mercun seorang diri di luar kediaman ibu bapanya.

"Orang ramai kemudian telah bertindak mengangkat mayat mangsa ke dalam rumah sementara menunggu polis sampai," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Abang Ahmad berkata siasatan awal polis mendapati Haiqal Hakim bermain mercun di luar rumah seorang diri sebelum itu.

"Pemeriksaan mendapati terdapat kesan kecederaan pada kepala si mati. Mayat dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak (Kecuaian Ibu Bapa). - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: mercun , maut

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan