Khalid Nafi Dr Mahmud Terbunuh Di Marawi

Diterbitkan: Sabtu, 24 Jun 2017 7:00 AM

Mahmud Ahmad.

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan berita bahawa bekas pensyarah Universiti Malaya, Dr Mahmud Ahmad terbunuh dalam pertempuran di Marawi, Filipina.

Beliau berkata beliau baharu sahaja mendapat maklumat bahawa berita yang menyatakan Mahmud terbunuh adalah tidak benar.

"Berkenaan dengan Dr Mahmud, banyak yang bertanya, sama ada dia betul telah terbunuh dalam pertempuran di Marawi, Filipina. Saya baharu sahaja dapat maklumat bahawa berita yang menyatakan dia terbunuh itu adalah tidak benar.

"Jadi maknanya dia masih hidup lagi. Kita percaya dia masih lagi berada di Marawi City bersama-sama dengan perjuang-perjuang (pengganas) mempertahankan Marawi City. Saya menafikan berita bahawa Dr Mahmud itu telah terbunuh," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa di Masjid Nurul Iman, Kampung Gebok, Mantin.

Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh dan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Jaafar Mohd Yusof.Khalid berkata Mahmud menjadi antara perancang utama serang di Marawi.

Katanya Mahmud antara mereka yang penting dalam melancarkan serang dan apa yang berlaku di Marawi sekarang.

"Dia antara perancang utamanya dan sudah semestinya dia ini adalah menjadi sasaran utama bukan sahaja kita malah oleh pihak berkuasa Filipina. Saya juga ingin mengesahkan bahawa orang Malaysia yang berada di Marawi sebenarnya tidak ramai.

"Ada beberapa orang sahaja dan kita percaya sekurang-kurangnya empat orang telah terbunuh dan ada beberapa orang lagi yang kita belum dapat kenal pasti. Jadi kita sedang berunding dengan pihak berkuasa Filipina untuk mereka membantu kita mengenal pasti mereka-mereka yang terlibat," katanya.

Beliau berkata sebelum insiden di Marawi itu. terdapat jemaah tabligh dari Malaysia yang telah pergi ke Selatan Filipina termasuk di Marawi City.

"Jadi kami sedang mengumpul maklumat sama ada mereka yang terlibat dalam jemaah tabligh ini sudah semua pulang ke Malaysia atau pun ada yang masih berada di Filipina. Jadi siasatan sedang kita buat," katanya.

Pada majlis itu, Khalid menyampaikan sumbangan Polis Diraja Malaysia kepada 127 orang penerima yang terdiri daripada anak yatim, anggota polis dan masyarakat setempat. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Dr Mahmud Ahmad

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan