Suami Isteri Kena Cekup Tanam Ganja Dalam Rumah

Diterbitkan: Jumaat, 16 Jun 2017 12:44 PM

TIMBALAN Ketua Polis Selangor DCP Datuk Ab. Rashid Ab. Wahab (kanan) menunjukkan bungkusan dadah jenis ganja dan pokok ganja yang dirampas dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Puchong pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada 15 Jun 2017. - BERNAMA

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Sepasang suami isteri yang menjalankan perniagaan menjual barangan kosmetik menerusi dalam talian merupakan antara tiga yang ditahan pada Isnin lalu, kerana menanam pokok ganja di rumah.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata, pasangan suami isteri berusia 29 dan 30 tahun itu ditahan di Seri Kembangan dekat sini.

"Pemeriksaan terhadap suspek lelaki menjumpai satu peket ganja mampat seberat 89 gram. Soal siasat terhadap kedua-dua suspek kemudian membawa polis ke sebuah kondominium yang disewa pasangan berkenaan di Puchong.

Di kondominium berkenaan pihak kami menahan seorang lagi suspek lelaki warga tempatan berusia 22 tahun dan merampas dua ketulan mampat dedaun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 1.5 kg bernilai RM3,600," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.

Menurut Ab Rashid, pemeriksaan seterusnya menemui sebanyak 38 batang pokok dipercayai pokok ganja belum matang yang ditanam di dalam pasu dan diletakkan di bahagian balkoni kondominium serta di dalam bilik yang lengkap dengan alat kawalan suhu dan baja khas.

Tambahnya, kesemua suspek ketika disoal siasat mengaku belajar cara-cara penanaman pokok ganja daripada internet dan mula menanam pokok larangan itu sejak awal tahun ini.

Sementara itu, dalam empat serbuan berasingan pada Sabtu hingga Selasa lepas, Ab Rashid berkata pihaknya berjaya menahan 15 individu termasuk tiga wanita kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar Gombak, Seri Kembangan dan Ampang Jaya.

Katanya, dalam serbuan di Gombak, kira-kira 12.20 tengah malam, Sabtu, polis menahan dua suspek, seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun serta merampas 24 ketulan mampat disyaki ganja seberat 23.2 kg bernilai RM58,000.

"Dalam serbuan yang lain pada Isnin, kira-kira pukul 11.20 malam di kawasan Seri Kembangan, kita telah menahan seorang lelaki berusia 27 tahun dan berjaya merampas satu ketulan mampat dadah dipercayai jenis ganja seberat 1kg bernilai RM2,400.

Pada hari yang sama, kira-kira pukul 11.35 malam di Seri Kembangan, kita juga telah menahan enam lelaki dan seorang perempuan berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun dan merampas ganja seberat 0.327 gram bernilai RM700.

Serbuan seterusnya pada Selasa di kawasan sebuah pangsapuri sekitar Ampang Jaya, kira-kira pukul 12.30 tengah hari, polis telah menahan empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 30 tahun serta merampas ganja seberat 6.4kg dianggarkan bernilai RM15,600," katanya.

Menurut Ab Rashid, siasatan awal mendapati kesemua dadah diperolehi dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tags / Kata Kunci: Ganja

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan