Dua Nelayan Dikhuatiri Lemas, Bot Dibadai Ribut

Diterbitkan: Sabtu, 27 Mei 2017 11:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Dua nelayan dikhuatiri lemas setelah bot yang masing-masing dinaiki terbalik dan karam akibat dipukul ribut kencang di perairan Rambah dan Pontian, dekat sini, Jumaat.

Pengarah Maritim Daerah Johor Bahru, Kapten Maritim Syed Nur Adli Ab Rahman berkata dalam dua kejadian berasingan kira-kira 11 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Muhammad Atif Hafifi Abd Manaf, 28, berasal dari Kampung Pesisir Pontian dan seorang lagi hanya dikenali sebagai Amy berusia 20 tahun berasal dari Sabah.

Dalam kejadian pertama, katanya, Muhammad Atif dan rakannya baru sahaja selesai menangkap ikan apabila angin dan ribut kencang membadai bot mereka sehingga menyebabkan ia terbalik di kedudukan satu kilometer barat Sungai Rambah, Pontian.

Bagaimanapun, rakannya berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai manakala Muhammad Atif hilang, katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Menurut beliau, kejadian ribut kencang turut mengakibatkan sebuah lagi bot yang membawa empat kru termasuk Amy karam di kedudukan 1.8km barat Sg Pontian Kechil pada waktu yang hampir sama akibat dinaiki air laut.

Tiga yang lain sempat diselamatkan bot nelayan lain yang berada di kawasan terbabit manakala Amy masih dicari pasukan penyelamat," katanya.

Syed Nur Adli berkata operasi mencari dan menyelamatkan mangsa telah diaktifkan sejurus menerima laporan dengan melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Polis Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan nelayan tempatan.

Pihak maritim menasihatkan orang ramai agar lebih peka dengan perubahan cuaca dengan merujuk kepada Jabatan Meteorologi Malaysia apabila turun ke laut selain, menggunakan jaket keselamatan untuk mengurangkan risiko kejadian tidak diinggi.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Sungai Rambah , Atif Hafifi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan