Enam Suspek Militan Ditahan

Diterbitkan: Sabtu, 27 Mei 2017 2:32 PM

Khalid Abu Bakar.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang suspek yang menyeludup senjata untuk militan IS dan melarikan diri ke Thailand pada Mac lalu telah menyerah diri kepada polis.

Muhammad Muzafa Arieff Junaidi, 27, merupakan antara enam suspek militan yang ditahan polis susulan serbuan di Kelantan, Selangor, Perak dan Kedah dari 23 sehingga 26 Mei.

Kesemua mereka ditahan dalam operasi khas yang dijalankan oleh Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Muhammad Muzafa menyerah diri kepada polis di Rantau Panjang, Kelantan pada 23 Mei lalu.

"Suspek sebelum ini melarikan diri ke selatan Thailand pada 22 Mac selepas menyeludup senjata api jenis M4 Carbine dan pistol.

"Polis kemudian memohon kerjasama masyarakat agar tampil memberi maklumat lanjut mengenainya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Penahanan lain melibatkan adik-beradik yang masing-masing bekerja sebagai guru agama berusia 23 tahun dan peniaga dalam talian, 29.

"Kedua-dua mereka adalah saudara kepada militan Muhammad Fudhail Omar.

"Fudhail yang berada di Syria pernah mengarahkan seorang anggota Daesh melancarkan serangan secara 'lone wolf' di Sandakan pada Ogos tahun lalu," katanya sambil menambah bahawa kedua-dua suspek ditahan pada 25 dan 26 Mei.

Beliau berkata, adik-beradik itu disyaki membantu dan menyokong militan IS di Syria terutama Fudhail dan seorang lagi bernama Akel Zainal.

"Fudhail dijangka mengambil alih peranan Muhammad Wanndy Mohamed Jedi," katanya.

Wandy disahkan terbunuh dalam serangan di Syria baru-baru ini.

Suspek keempat merupakan seorang pesara tentera berusia 54 tahun yang ditahan pada 25 Mei di Kedah.

"Kita percaya dia menyalurkan kira-kira RM20,000 kepada militan di Syria melalui beberapa transaksi.

"Salah seorang daripada anak lelakinya, Afif Safwan Azuddin telah menyertai IS di Syria," kata Khalid.

Suspek-suspek lain ditahan di Selangor dan Kedah pada 25 Mei.

"Seorang suspek merupakan pegawai pengawal kualiti di sebuah syarikat swasta dan seorang lagi tidak bekerja.

"Kedua-dua mereka disyaki terlibat menyokong dan membantu IS," kata Khalid.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan