Rahsia Bonet Papan Lapis Terbongkar

Diterbitkan: Jumaat, 26 Mei 2017 12:51 PM

Zulkifli dan anggota Kastam Kedah menunjukkan hasil rampasan dadah terbesar mencecah RM18.3 juta di sempadan negara.

(Ubah saiz teks)

BUKIT KAYU HITAM: Cubaan menyembunyi dadah dalam bonet kereta yang diubah suai menggunakan papan lapis terbongkar apabila anggota penguatkuasa di sempadan negara mengesan objek mencurigakan dalam kenderaan itu.

Tindakan anggota Kastam Kedah menyelongkar bonet Proton Iswara itu membuahkan hasil apabila dadah mencecah 198 kilogram (kg) yang bernilai RM18.3 juta ditemui, sekali gus menjadi rampasan terbesar agensi itu setakat ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zulkifli Yahya berkata, cubaan menyeludup dadah itu berjaya dipatahkan sepasukan pegawai dari unit penguatkuasaan dan cawangan pemeriksaan kenderaan pada Selasa.

"Kereta dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun itu ditahan di Kompleks Kuarantin dan Keselamatan Kastam, Imigresen di sini.

"Bonet kereta itu ditutup dengan papan lapis dan kelihatan seperti tempat meletak pembesar suara dan sistem audio, bagaimanapun anggota penguatkuasa dapat mengesan adanya objek mencurigakan antara ruang papan lapis itu," katanya pada sidang media pada Jumaat.

Sebaik menjalankan pemeriksaan lanjut, kata Zulkifli, sejumlah ketulan persegi kuning, bungkusan plastik hitam dan hijau ditemui.

Keseluruhannya sebanyak 154kg heroin, methamphetamin (38kg) dan enam kg ketamin dirampas dari kereta itu.

Menurut Zulkifli, dokumen perjalanan pemandu kereta itu menunjukkan dia kerap berulang alik ke negara jiran.

"Susulan itu, seorang lelaki berusia 36 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket sama telah ditahan di Alor Setar.

"Kedua-dua suspek telah ditahan reman sehingga 5 Jun untuk siasatan lanjut," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tags / Kata Kunci: Kastam Kedah , Bukit Kayu Hitam , heroin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan