Remaja 16 Tahun Diberkas Bersama Dadah

Diterbitkan: Khamis, 11 Mei 2017 7:14 PM

Roslan Tahir (dua,kiri) menyusun rampasan dadah pelbagai jenis bernilai RM34,88.50 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada Khamis. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Lima lelaki termasuk seorang remaja bawah umur diberkas bersama pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM34,850 dalam serbuan berasingan di sekitar Marang dan Kuala Terengganu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Supritendan Roslan Tahir berkata seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan pada Isnin di sebuah rumah di kawasan Mawas, Batu Rakit manakala empat  daripadanya ditahan  di tempat letak kereta di sebuah masjid di Marang, Selasa lalu.

Katanya, dalam serbuan pertama terhadap lelaki berkenaan, pihak polis menemukan 1,832 biji pil disyaki pil kuda kira-kira 183.2 gram yang dianggarkan bernilai RM12,150.

“Ketika serbuan kedua di kawasan Batu Rakit, pada 6 petang, 13 botol dadah dipercayai heroin bernilai RM5,850 serta 90 biji pil disyaki pil kuda bernilai RM800 ditemukan. Ketika diberkas empat sahabat itu termasuk remaja yang berusia 16 tahun dan tidak bersekolah itu dipercayai sedang menunggu pelanggan di kawasan masjid tersebut.

"Terkejut dengan kehadiran pihak polis kesemua mereka yang berada di dalam kereta itu enggan memberikan kerjasama dan pihak polis terpaksa memecahkan cermin kereta yang dinaiki mereka," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya serbuan tersebut juga membawa penemuan 33 botol dadah jenis heroin yang bernilai RM14,850 bersama pil eramin 5 bernilai RM1,200 di rumah seorang daripada suspek di kampung Padang Mengkuang, Marang.

Katanya kesemua dadah berkenaan diletakkan di dalam satu bekas dan disorokkan di dalam kabinet dapur rumah milik suspek yang bekerja sebagai buruh.

"Selain rampasan dadah, kami turut merampas kereta Perodua Myvi untuk siasatan lanjut dan  menyita wang tunai berjumlah RM2,040, sebuah kereta jenis Honda Jazz bernilai RM75,000 serta sebuah motosikal jenis SYM berharga RM3,000," katanya.

Kesemua suspek kini direman selama seminggu sehingga 16 Mei ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Tambah Roslan, beliau yakin kedua-dua sindiket tersebut  aktif dalam pengedaran dadah sejak November tahun lalu dan memperoleh bekalan dari negara jiran.

“Kami sedang memburu saki baki kedua-dua sindiket dadah yang bertapak di Marang dan Kuala Terengganu ini,” katanya.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Dadah , pelajar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan