Sisik Tenggiling RM9.18 Juta Dirampas

Diterbitkan: Isnin, 8 Mei 2017 2:46 PM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mematahkan penyeludupan 712 kilogram (kg) sisik tenggiling bernilai RM9.18 juta dalam dua kes berasingan awal bulan ini.

Penolong Ketua Pengarah JKDM, Datuk Paddy Abd Halim berkata ia adalah kes terbesar yang direkodkan setakat ini tahun ini melibatkan penyeludupan sisik tenggiling ke Malaysia.

Bagi kes pertama katanya, sebanyak lapan guni disyaki barangan larangan import tiba di Kastam Kargo KLIA pada 1 Mei menerusi penerbangan Emirates Airline dari Accra, Ghana yang transit di Dubai sebelum ke KLIA.

"Satu pasukan bahagian penguatkuasaan JKDM KLIA menjalankan pemeriksaan ke atas guni-guni tersebut pada 2 Mei dan menemui 408 kg sisik tenggiling bernilai anggaran RM5.26 juta," katanya pada sidang media, di sini Isnin.

Beliau berkata bagi kes kedua, sebanyak 10 guni disyaki membawa barangan larangan import tiba pada 2 Mei melalui penerbangan Kenya Airways dari Kinshasha, Congo ke Nairobi, Kenya sebelum transit di Dubai dan seterusnya melalui penerbangan Emirates Airways ke KLIA.

Paddy berkata hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan pada 3 Mei menemui kira-kira 304 kg sisik tenggiling dengan nilai anggaran RM3.92 juta.

"Bagi kes pertama, guni-guni berkenaan diisyhtiharkan sebagai produk umum di dalam surat muatan udara manakala bagi kes kedua dicatatkan sebagai herba kering," katanya.

Paddy berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat memandangkan kesemua guni berkenaan dialamatkan kepada syarikat dan alamat palsu di Nilai, Negeri Sembilan.

Ditanya sama ada Malaysia adalah destinasi terakhir sisik tenggiling berkenaan, beliau berkata perkara itu masih dalam siasatan.

Katanya kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda minimum 10 kali nilai atau maksimum 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Paddy berkata sisik tenggiling dilarang pengimportannya di bawah Jadual Ketiga Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) kecuali dengan permit.

Katanya ia juga disenaraikan sebagai barang dilarang import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017, Butiran 1, Jadual Ketiga, Bahagian III kecuali dengan permit import dari Perhilitan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Perhilitan, Rozidan Md Yasin berkata lebih 1,400 ekor tenggiling dianggarkan dibunuh bagi mendapatkan sisik dalam jumlah tersebut.

"Seekor tenggiling dianggarkan seberat 5kg hingga 7kg dengan sisik seberat 0.5kg. Jadi untuk mendapatkan 712kg, lebih 1,400 ekor tenggiling telah dibunuh," katanya.

Menurut Rozidan sisik tenggiling biasanya digunakan secara tradisional untuk tujuan perubatan seperti menyembuhkan demam, malaria dan menambah tenaga walaupun tiada bukti secara santifik bagi menyokong dakwaan itu. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: sisik tenggiling , JKDM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan