Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Kebakaran Rumah, Lima Kenderaan

Diterbitkan: Jumaat, 5 Mei 2017 5:49 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kebakaran melibatkan sebuah rumah dan lima kenderaan di Jalan Permas 14, Taman Permas Jaya, di sini, awal pagi Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Supt M.Kumar berkata, lelaki berumur 34 tahun itu ditahan di kawasan berhampiran kira-kira 4.30 pagi.

"Polis menerima laporan kejadian pada 1.19 pagi dan berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai ada berunsurkan perbuatan khianat dengan api," katanya yang dihubungi di sini, Jumaat.

Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan menunggu laporan pihak forensik serta bomba.

Katanya, pihaknya percaya lebih seorang individu terlibat dalam kes berkenaan dan beberapa tangkapan dijangka dilakukan selepas ini.

Lelaki tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan untuk disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan, katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II Anuar Hamzah yang dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan kebakaran melibatkan rumah dan lima kenderaan itu pada pukul 1.17 pagi.

Anuar berkata, operasi memadam kebakaran yang diketuai beliau bersama lima anggota lain berjaya memadam kebakaran pada 3.20 pagi.

"Kebakaran melibatkan 30 peratus bahagian hadapan rumah manakala tiga kereta dan dua motosikal pula terbakar 100 peratus," katanya, dan menambah, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan akibat kejadian itu. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan