SPRM: Pengarah Dan Pengurus Projek Ke Mahkamah Pada Khamis

Diterbitkan: Rabu, 3 Mei 2017 9:46 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menghadapkan dua individu iaitu pengarah dan pengurus projek sebuah syarikat swasta kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berhubung projek kerja-kerja penyelenggaraan paip yang diberikan oleh Petronas.

Kedua-dua suspek yang berusia 61 tahun dan 48 tahun itu dikatakan telah membuat tuntutan palsu hampir RM8.8 juta dalam perlaksanaan projek tersebut pada tahun 2011.

Sumber berkata, suspek telah mengemukakan satu invois untuk projek yang dilaksanakan bernilai hampir RM17 juta, apabila seluruh projek yang dilaksanakan hanya bernilai kira-kira RM5 juta.

SPRM juga dijangka menyiasat sekiranya mereka telah mendapatkan projek-projek daripada syarikat GLC lain dan melakukan kesalahan jenayah yang sama.

Kata sumber itu lagi, SPRM akan terus mengambil tindakan-tindakan ke atas syarikat-syarikat swasta yang terlibat dalam penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah yang mengakibatkan kerugian kepada kerajaan.

“Perbuatan syarikat-syarikat swasta ini mendatangkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan hasil perbuatan jenayah mereka dan SPRM memandang serius perbuatan kontraktor-kontraktor yang sering mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri,” ujar sumber itu lagi.

Kedua-duanya dijangka akan dituduh mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang mana jika disabit kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10 ribu, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua suspek itu akan dihadapkan ke mahkamah untuk dituduh pada Khamis.

Tags / Kata Kunci: Pengarah , pengurus projek , tuntutan palsu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan