Gaduh Kutu Rayau, Bukan Kongsi Gelap - Polis Ampang

Diterbitkan: Rabu, 3 Mei 2017 11:58 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Insiden pergaduhan di hadapan Hospital Ampang yang membawa kepada penahanan dua lelaki tidak melibatkan kumpulan kongsi gelap, sebaliknya hanya pertembungan kira-kira 80 'kutu rayau'.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur gangsterisme berlaku dan tidak melibatkan ‘mat rempit’ seperti yang didakwa beberapa pihak.

“Tiada gangsterisme atau ‘mat rempit’, cuma kaki lepak. Budak-budak ini bergaduh sehingga keadaan menjadi kecoh.

“Setakat ini, tiada tangkapan lain dibuat selain dua yang ditahan sewaktu kejadian. Maklumat awal mendapati kejadian berpunca daripada kemalangan kecil,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Kes tersebut sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana membawa senjata di tempat awam.

Bagaimanapun, kata Hamzah, terkini, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

“Jika dilihat lokasi kejadian berlaku berhampiran kawasan kediaman, mungkin mereka sempat mengambil parang di rumah atau kereta. Perkara itu masih dalam siasatan,” ujarnya.

Sebelum ini, mStar Online melaporkan dua lelaki telah ditahan polis berhubung kejadian gaduh di hadapan Hospital Ampang, awal pagi Isnin.

Difahamkan, empat anggota polis yang sedang membuat rondaan di kawasan itu melihat sekumpulan lelaki seramai kira-kira 80 orang bergaduh dan mengarahkan mereka bersurai kira-kira pukul 3.15 pagi Isnin.

Pergaduhan itu telah dirakamkan dan video telah dikongsi di media sosial.

Di tengah-tengah kekecohan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun dan seorang lagi lelaki berusia 33 tahun yang memegang parang.


Tags / Kata Kunci: Hospital Ampang , Hamzah Alias

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan