Perancang Himpunan Geng 24 Ditahan

Diterbitkan: Selasa, 2 Mei 2017 7:03 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Dalang yang merancang sekumpulan geng dipercayai geng 24 untuk berhimpun di hadapan sekolah di Klang, akhirnya dicekup.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, dalang terbabit merupakan pelajar tingkatan lima berusia 17 tahun.

Menurutnya, dalang terbabit antara 12 individu yang terbaharu ditahan polis di sekitar Klang bagi membantu siasatan berhubung kes geng 24 itu.

"Siasatan awal dapati pelajar terbabit bertanggungjawab untuk mengumpulkan ahli kumpulan geng 24 pada hari berkenaan.

"Pelajar ini termasuk dalam tiga pelajar lain yang masih direman bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kontinjen Selangor, Selasa.

Dengan tangkapan terbaharu itu menjadikan sejumlah 53 orang ditahan bagi membantu siasatan berhubung pembabitan mereka di dalam geng berkenaan.

Katanya, 43 orang merupakan pelajar sekolah, dua pelajar kolej dan lapan tidak bersekolah.

Dalam pada itu, polis masih berusaha menjejaki saki-baki lagi ahli kumpulan ini dan akan ada tangkapan lagi dilakukan sekiranya mempunyai maklumat.

"Kita tidak pernah berhenti dan siasatan akan diteruskan," katanya.

Baru-baru ini polis telah menahan sekumpulan remaja di sekitar Klang dalam operasi Cantas Khas minggu lepas sebaik sahaja rakaman video menunjukkan mereka menimbulkan kekecohan di luar sebuah sekolah menjadi tular di media sosial.

Video itu antara lain menunjukkan sekumpulan lelaki membawa sepanduk yang tertera angka '24' dan dalam kalangan mereka ada yang berpakaian dengan lambang swastika yang berunsurkan kongsi gelap.-Sinar Harian

Tags / Kata Kunci: Geng 24 , dicekup

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan