Kes Thaqif: Polis Akan Muktamadkan Siasatan

Diterbitkan: Isnin, 1 Mei 2017 6:33 PM

Pembantu warden direman sehingga 3 Mei.

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Polis sedang memuktamadkan siasatan berhubung kes kematian murid berusia 11 tahun yang didakwa dipukul di madrasah tahfiz di Kota Tinggi di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, polis akan menyerahkan kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya (DPP) tidak lama lagi.

"Kita baru saja terima kertas-kertas siasatan dari pejabat DPP, kerana kita perlu menambah lebih banyak butiran.

"Sebaik sahaja kita masukkan fakta-fakta kes, kita akan menghantar semula kertas-kertas ini kepada pejabat DPP untuk tindakan lanjut," katanya pada Isnin.

Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi  dimasukkan ke hospital pada 19 April lalu berikutan dakwaan dipukul pembantu warden madrasah empat minggu sebelum itu.

Kedua-dua kakinya terpaksa dipotong kerana jangkitan kuman.

Jangkitan itu merebak ke tangan kanannya, yang dijadual turut akan dipotong.

Bagaimanapun, prosedur tersebut terpaksa dibatalkan kerana denyutan nadi dan keadaan mangsa tidak stabil.

Mangsa meninggal dunia pada pukul 2.05 malam 26 April.

Pembantu warden yang merupakan bekas banduan direman sehingga 3 Mei. 

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan