Pembantu Warden Terlibat Kes Dera Direman Semula

Diterbitkan: Sabtu, 29 April 2017 8:57 AM

Pembantu warden asrama madrasah tahfiz swasta ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi 23 April lalu -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Pembantu warden lelaki di sebuah pusat tahfiz swasta di sini yang ditahan kerana disyaki mendera seorang pelajar pusat itu sebelum ini, direman semula pada Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kota Tinggi bagi membolehkan suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Reman tujuh hari itu bermula hari ini (Jumaat) hingga 3 Mei depan," kata beliau dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Sebelum ini, suspek direman empat hari mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, sebelum disambung lagi tempoh remannya selama tiga hari.

Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan di rumahnya di Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi pada pukul 4 petang Sabtu lepas selepas ibu mangsa membuat laporan polis.

Dalam kejadian berkenaan Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, dipukul dengan paip getah hingga menyebabkan kecederaan pada kedua-dua kakinya.

Mohamad Thaqif Amin kemudian dipotong kedua-dua belah kaki hingga paras paha akibat dijangkiti kuman setelah dipercayai didera oleh pembantu warden berkenaan.

Mangsa meninggal dunia pada pukul 2.05 petang Rabu lepas di Hospital Sultan Ismail di sini dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Aping Timur, pada malam hari yang sama. -Bernama

Tags / Kata Kunci: pembantu warden , kes dera , Mohamad Thaqif

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan