Penoreh Getah Hilang Tiga Insan Tersayang Serentak

Diterbitkan: Isnin, 10 April 2017 5:11 PM

Keadaan kereta yang terlibat dalam kemalangan maut melibatkan empat mangsa di Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli awal pagi Isnin. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

TANAH MERAH: Seorang penoreh getah kehilangan tiga orang kesayangan sekali gus dalam kemalangan jalan raya di Km 89, Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, Batang Merbau di sini awal pagi Isnin.

Sidik Awang, 60, kehilangan isteri, anak dan cucu apabila kereta Proton Saga yang dinaiki mereka bertembung dengan kereta Nissan Bluebird dalam kejadian pukul 1.39 pagi.

Mereka ialah Paridah Ismail, 54, Muhamad Saiful Sidik, 17, dan Nur Assyifa Muhamad Shaharil, 3.

Yang turut terbunuh ialah pemandu Nissan Bluebird tersebut, Mohd Roza Ismail, 38.

"Saya bersama lapan anggota keluarga saya pada mulanya pergi ke Muazam Shah, Pahang untuk mengambil seorang anak saya yang baharu sahaja menamatkan pengajian di Politeknik di sana," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Sidik berkata, mereka bertolak dengan dua buah kereta pada Sabtu dan bertolak balik ke sini pada pukul 9 pagi Ahad, sambil singgah di beberapa tempat untuk berehat dan riadah.

Beliau berkata beliau bersama tiga orang anaknya menaiki kereta berasingan dan bergerak di hadapan kereta yang dinaiki isteri, anak dan cucunya itu.

"Apabila kami menyedari kereta yang dinaiki mereka tidak kelihatan di belakang kereta kami, saya lalu telefon kepada isteri saya, namun dia tidak menjawab.

"Kami lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik dan dalam perjalanan itu, saya menerima panggilan daripada salah seorang anggota keluarga saya yang lain yang menyatakan isteri saya terlibat dalam kemalangan. Kami kemudiannya terus ke hospital," katanya.

Dua orang anak Sidik turut cedera parah dalam kemalangan itu iaitu yang memandu kereta Proton Saga tersebut Muhamad Shaharil, 31, dan adiknya Suhaila, 23.

Kesemua jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubuk Bungor, Jeli selepas solat Asar pada Isnin.

Sementara itu seorang saksi kejadian Zul Azman Abd Kadir, 41, berkata bersama lima rakannya sedang berada di sebuah premis mencuci kereta apabila mendengar bunyi dentuman kuat di hadapan kedai tersebut.

"Pada mulanya kami menyangka bunyi tayar lori pecah, namun terkejut apabila melihat dua buah kereta remuk berada di atas jalan raya kira-kira 50 meter dari kedai tersebut.

"Kami melihat beberapa mangsa dalam keadaan berlumuran darah. Penduduk kampung kemudian membantu mengeluarkan mereka sebelum dibawa dengan ambulans ke hospital," katanya. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan