Lima Penyamun Bersenjata Dicekup

Diterbitkan: Isnin, 3 April 2017 4:31 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Lima lelaki yang melakukan samun bersenjata ke atas seorang lelaki warganegara Indonesia pada Sabtu lalu, berjaya diberkas di sini, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Mohd Taib Ahmad berkata kelima-lima suspek berusia antara 17 hingga 18 tahun itu ditahan di Taman Universiti, Skudai, beberapa jam selepas kejadian.

Sebilah parang serta sebuah kereta Hyundai Atos yang digunakan suspek dalam kejadian berkenaan turut dirampas.

Menurut Mohd Taib, kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 38 tahun sedang berjalan kaki dari sebuah restoran menuju ke rumahnya.

Kemudian, dia tiba-tiba didekati sebuah kereta sebelum disamun oleh beberapa suspek menggunakan sebilah parang.

"Mangsa berjaya melarikan diri namun masih terdapat kecederaan dialami, menyebabkan dia terpaksa menerima tiga jahitan di belakang badan.

Suspek pula gagal merampas barangan berharga," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Mohd Taib berkata kemungkinan penglibatan kesemua suspek dalam jenayah samun lain di sekitar Johor Bahru turut disiasat.

Kesemua suspek kini direman selama tiga hari bagi siasatan lanjut di bawah Seskyen 394 Kanun Keseksaan.

Tags / Kata Kunci: Samun

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan