Pecah Amanah: Pegawai BERNAS Pulau Pinang Antara 13 Ditahan

Diterbitkan: Khamis, 30 Mac 2017 9:42 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Seramai 13 orang termasuk beberapa pegawai Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) Pulau Pinang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pecah amanah sebanyak RM9.5 juta syarikat itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang ACP Abdul Ghani Ahmad berkata kesemua lelaki itu yang berusia 35 hingga 50-an ditahan secara berasingan di sekitar negeri ini dari 14 Mac hingga Selasa lepas.

Beliau berkata pada 14 Mac lepas, polis menerima laporan daripada BERNAS berhubung kes pecah amanah dan menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes itu.

"Kami menahan seorang pegawai BERNAS di tempat kerjanya pada 14 Mac sebelum menahan yang lain termasuk beberapa lagi pegawai BERNAS secara berperingkat untuk membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata selain pegawai BERNAS, turut ditahan dalam operasi khas itu adalah pemandu lori dan penjual beras.Abdul Ghani berkata polis juga merampas pelbagai barang antaranya kereta, jam berjenama dan komputer riba.

"Berdasarkan siasatan awal, modus operandi mereka ialah mengeluarkan stok beras dari gudang tanpa pengetahuan pihak pengurusan dan menjualnya kepada orang tengah.

"Siasatan polis juga mendapati mereka yang ditahan itu mempunyai peranan masing-masing dan terlibat dalam kegiatan itu sejak dua tahun lepas," katanya.

Menurutnya polis masih menjalankan siasatan lanjut dan sedang mengesan  beberapa lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: BERNAS , pecah amanah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan