Polis Tahan Lelaki Muat Naik Kenyataan Jelik Terhadap Sultan Johor

Diterbitkan: Jumaat, 24 Mac 2017 7:50 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai memuat naik kenyataan jelik terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi laman sosial Facebook.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata lelaki itu ditahan kira-kira 6.30 petang Khamis di perkarangan Balai Polis Baling, Kedah.

"Polis Johor menerima satu laporan hari ini berkenaan satu kenyataan jelik yang dimuat naik dalam aplikasi Facebook terhadap Sultan Johor.

"Sehubungan itu, satu kertas siasatan telah dibuka bagi menjalankan siasatan lanjut dan mengesan individu yang dipercayai memuat naik kenyataan tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Khamis malam.

Wan Ahmad Najmuddin berkata tindakan pantas polis Johor dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah kemudian berjaya menahan lelaki terbabit petang tadi.

Beliau berkata polis turut merampas tiga telefon bimbit, tiga kad sim, lima kad memori serta seunit pemacu kilat daripada lelaki berkenaan.

Katanya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak menyalahgunakan laman sosial atau bersedia menghadapi tindakan tegas pihak polis.

Tags / Kata Kunci: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan