Jabatan Bomba Tidak Kompromi Anggota Terlibat Rasuah - Berita Jenayah | mStar

Jabatan Bomba Tidak Kompromi Anggota Terlibat Rasuah

Diterbitkan: Rabu, 22 Mac 2017 9:16 PM

Amer Yusof

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggotanya yang terlibat dengan gejala rasuah. 

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM Datuk Amer Yusof berkata tindakan tegas akan diambil termasuklah menamatkan perkhidmatan anggota terbabit serta-merta sekiranya terbukti terlibat dengan amalan yang tidak bermoral itu.

"Kita memandang serius perkara ini kerana ia boleh menghakis kepercayaan masyarakat terhadap jabatan bomba sekali gus mencalarkan imej kita di mata rakyat," katanya selepas majlis Paluan Berundur Pengarah JBPM Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Ahmad Shahabuddin pada Rabu.

Timbalan Pengarah JBPM Kedah Awang Hidzel Awang Bujang akan memangku jawatan itu. 

Amer berkata walaupun terdapat beberapa kes terpencil melibatkan anggota yang disyaki terlibat rasuah baru-baru ini, namun ianya tidak boleh dipandang sepi dan perlu kepada tindakan tegas untuk mengatasinya.

Sehubungan itu, pihaknya akan terus menggiatkan kempen integriti kepada semua pegawai dan anggota bomba supaya menjalankan tugas dengan amanah dan penuh tanggungjawab.

"Selain itu, kita juga akan memberi fokus kepada bahagian-bahagian yang memberi ruang dan peluang kepada amalan ini dan kita mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai untuk memaklumkan kepada kita jika ada anggota bomba yang disyaki menerima rasuah untuk diambil tindakan," katanya.

Pada masa yang sama, Amer berharap masyarakat tidak memandang serong terhadap JBPM kerana aktiviti rasuah ialah isu yang patut ditangani secara bersama.

Dalam pada itu, Ahmad, 58, anak kelahiran Pulau Pinang dalam ucapannya berkata walaupun telah menamatkan perkhidmatan dalam pasukan bomba, beliau tidak akan berhenti daripada menyumbang idea dan buah fikiran bagi sama-sama membangunkan pasukan bomba agar terus memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

"Saya akan terus memberi nasihat dan sumbangan kepada pasukan bomba yang masih memerlukan khidmat saya walaupun sudah tidak lagi berada dalam jabatan ini kerana pekerjaan ini sudah sebati dalam jiwa dan raga saya," katanya.

Ahmad mula berkhidmat di JBPM sebagai Kadet Pegawai pada 1977 sebelum ditugaskan sebagai ketua operasi di JBPM Kedah setahun kemudian dan memegang jawatan terakhirnya itu sejak 2011. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Jabatan bomba
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan