Lemas: Dua Lagi Mayat Belum Ditemui

Diterbitkan: Sabtu, 18 Mac 2017 8:08 AM

Mangsa lemas yang dijumpai oleh anggota Bomba dan Penyelamat di Kampung Timah SKC Bukit Beruntung pada Jumaat. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

BUKIT BERUNTUNG: Dua lagi mayat kanak-kanak yang hilang selepas dibawa arus sungai berhampiran Sekolah Kebangsaan Cina (SKC), Bukit Beruntung lewat petang Jumaat, ditemui kira-kira 10 malam Jumaat.

Setakat ini, empat mayat telah ditemui.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, kedua-dua mangsa dikenali Mohd Ikhwan Mohd Ridhuan, 10, dan Mohd Aiman Fitri Md Asmadi, 12.

Beliau berkata, mayat Mohd Ikhwan ditemui pada 9.47 malam, manakala Mohd Aiman pula pada 10 malam.

"Mayat kedua-duanya ditemui berdekatan antara satu sama lain dan kami berharap tiga lagi mangsa yang masih hilang dapat ditemui.

"Operasi mencari tiga lagi mangsa yang masih hilang diteruskan malam ini sehingga kesemua mereka ditemui," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Mereka adalah antara lapan kanak-kanak yang dilaporkan memancing di sungai SKC berhampiran kelab golf Bukit Beruntung, sebelum tujuh daripada mereka hanyut dibawa arus deras manakala seorang lagi terselamat.

Terdahulu, pasukan mencari dan menyelamat menemui dua mayat adik beradik, Shahrizat Abdullah, 12, dan adiknya Shahrizwan, 10.

Polis juga memperluaskan radius kawasan pencarian tiga lagi kanak-kanak yang masih hilang ketika memancing di sungai itu kepada 5 kilometer.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt R. Supramaniam berkata, operasi pencarian itu akan diteruskan malam Jumaat.

"Ketika ini air sungai sedang cetek dan ia akan memudahkan operasi pencarian. Kami berharap tiga lagi mangsa akan ditemui malam ini," katanya.

Sementara itu, Anggota Parlimen Hulu Selangor Datuk P. Kamalanathan yang turut hadir, mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

"Saya harap keluarga mangsa sentiasa tabah atas kejadian ini dan mengelakkan kejadian sedemikian berulang kembali," katanya. 

Kamalanathan yang juga Timbalan Menteri Pendidikan meminta ibu bapa sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka bagi mengelak perkara yang tidak diingini. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan