Empat Ditahan Berhubung Skandal Hartanah Dibebas Dengan Jaminan SPRM

Diterbitkan: Khamis, 9 Mac 2017 11:28 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Empat lelaki yang sebelum ini ditahan berhubung skandal rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di Johor, dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khamis.

Perintah pembebasan itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru Saba'aton Daud, selepas membenarkan permohonan SPRM.

Ia selari dengan tempoh reman ke atas mereka yang telah mencapai had maksimum 14 hari.

Bagaimanapun, siasatan lanjut ke atas keempat-empat suspek masih diteruskan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Keempat-empat mereka yang terdiri daripada anak dan pegawai khas seorang exco kerajaan negeri serta seorang peguam dan orang awam itu, merupakan antara tujuh individu yang ditahan berhubung kes terbabit.

Bagaimanapun, tiga lagi yang merupakan merupakan dua pemaju dan seorang kontraktorn telah dibebaskan, masing-masing pada 3 dan 7 Mac lalu, juga dengan jaminan SPRM.

Terdahulu, empat kenderaan yang membawa kesemua suspek tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 9.28 pagi sebelum mereka dibawa masuk ke pejabat Saba'aton.

Kesemua suspek berumur antara 25 dan 50 tahun ditangkap di beberapa lokasi di Johor Bahru dalam operasi berasingan pada 24 dan 28 Februari.

Dalam operasi berkenaan, SPRM turut merampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,00 termasuk mata wang asing dan dokumen-dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan.

Sebanyak 45 akaun bank milik bersama kesemua suspek melibatkan sekurang-kurangnya RM15.5 juta juga dibekukan bagi membantu siasatan.
Tags / Kata Kunci: SPRM , hartanah Johor , Exco Johor

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan