Pencuri Besi Buruk Sasar Menara Telefon

Diterbitkan: Rabu, 8 Mac 2017 10:30 AM

Salehuddin (tiga dari kiri) bersama pegawainya melihat hasil rampasan pada sidang media di Kota Kinabalu, Selasa.

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Pencuri besi buruk kini beralih kepada menara transmisi telefon selular dan peralatan elektronik.

Berdasarkan rekod jenayah, banyak bateri dan peralatan dari menara berkenaan ditemui dalam serbuan polis di beberapa kediaman di Putatan, Kinarut, Tenom dan Keningau pada 4 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Salehuddin Abdul Rahman berkata, 27 bateri kereta juga dirampas dalam serbuan itu.

Katanya, empat lelaki berusia antara 18 dan 49 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri telah ditahan pada hari sama.

"Tiga suspek yang ditahan didapati positif syabu dan memiliki rekod kesalahan dadah dan salah seorang lelaki yang ditahan adalah warga Indonesia," katanya.

Beliau berkata, serbuan dibuat selepas mendapat aduan rasmi syarikat telekomunikasi berkaitan menara transmisi di Bukit Padang di sini yang patah dan peralatannya dipercayai dicuri.

Salehuddin berkata, polis juga menahan seorang lelaki dan isterinya, di mana kedua-duanya berusia dalam lingkungan 40an yang menjalankan operasi urusniaga besi buruk di Inanam dekat sini pada 6 Mac.

"Sebanyak 55 bateri dirampas dari premis berkenaan," katanya.

Selain itu, polis juga menahan enam lelaki berusia antara 25 dan 35 tahun selepas pegawai Telekom Malaysia melaporkan kabel telefon sepanjang 200 meter dicuri di Tuaran pada 13 Februari lalu.

Pihak berkuasa yang menyerbu sebuah rumah di Telipok pada 6 Mac telah menemui pembalut kabel dan dua kenderaan.

Semua enam lelaki termasuk empat warga asing itu didapati positif syabu.



Tags / Kata Kunci: Telekom Malaysia , Telipok , Inanam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan