Mayat Wanita, Budak Perempuan Ditemui Terikat Di Tepi Pantai

Diterbitkan: Rabu, 1 Mac 2017 10:18 PM

Anggota polis mengangkat mayat seorang wanita bersama seorang kanak-kanak perempuan dipercayai berbangsa Cina yang ditemui mati di persisiran pantai berhadapan dengan Tropical Spice Garden Teluk Bahang pukul 6.08 petang Rabu. Mayat ditemui oleh orang awam dalam keadaan tertiarap dan terdapat tali rafia pada bahagian perut kedua-dua mangsa. Identiti mangsa masih dalam siasatan.-fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

BALIK PULAU: Mayat seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan ditemui dalam keadaan terikat pada bahagian perut di tepi pantai berhadapan Tropical Spice Garden, Teluk Bahang, dekat sini Rabu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Anuar Omar berkata mayat wanita berusia dalam lingkungan 30-an dan kanak-kanak berusia kira-kira empat tahun, dipercayai anak wanita itu, ditemui pada 6 petang.

"Mereka terikat antara satu sama lain...terdapat tali rafia yang mengikat  bahagian perut kedua-dua mangsa," katanya di sini malam Rabu.

Beliau berkata kedua-dua mayat itu lengkap berpakaian iaitu wanita berkenaan memakai baju-T warna kelabu dan seluar pendek warna merah jambu manakala kanak-kanak itu memakai baju-T serta seluar warna kelabu.

Berdasarkan keadaan mayat, mereka dipercayai mati dalam tempoh tidak sampai 24 jam lepas, katanya.

Anuar berkata tiada pengenalan diri ditemui bersama dua mayat itu dan identiti mereka belum dikenal pasti.

"Mayat mereka dibawa ke Hospital Balik Pulau (HBP) untuk bedah siasat," katanya.

Orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau rakan diminta tampil di  balai polis berhampiran atau HBP bagi membuat pengecaman dan membantu siasatan, katanya.

Sementara itu, Siti Naimah Mohd Sabri, 25, berkata dia ternampak mayat wanita dan kanak-kanak berkenaan tersangkut di kawasan batu di tepi pantai dipercayai dibawa ombak.

"Saya dan dua rakan sedang mandi di pantai itu sebelum ternampak mayat  itu... saya terus panggil kawan-kawan untuk melihat lebih dekat dan kami nampak dua mayat itu dalam keadaan bertindan dengan wanita di bahagian bawah manakala kanak-kanak atas mayat wanita itu.

"Kami terus pergi ke kedai berhampiran memaklumkan pemiliknya dan menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan