Kanak-Kanak Nyaris Jadi Mangsa Culik

Diterbitkan: Selasa, 28 Februari 2017 6:46 PM

GAMBAR HIASAN

(Ubah saiz teks)

KAJANG: Kegembiraan seorang kanak-kanak ketika bermain di taman permainan dekat sebuah klinik kesihatan Sungai Chua di sini hampir bertukar tragedi apabila dia nyaris menjadi mangsa culik.

Dalam kejadian 11.30 pagi Isnin, kanak-kanak berusia 20 bulan itu bermain di taman tersebut sambil diperhatikan ibunya yang berusia 28 tahun ketika menunggu giliran pemeriksaan dengan doktor di klinik berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nayan, wanita berkenaan menghadiri sesi pemeriksaan kesihatan kerana mengandung dan dia menyedari kehadiran seorang lelaki asing ke kawasan taman tersebut.

"Lelaki itu secara tiba-tiba menyambar kanak-kanak terbabit dan cuba melarikan diri.

"Pergelutan tercetus apabila ibu mangsa cuba mendapatkan anaknya semula," kata Othman sambil menambah suspek kemudiannya melepaskan mangsa sebelum melarikan diri.

Kedua-dua ibu dan kanak-kanak tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian itu.

Kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 363 dan 511 Kanun Keseksaan.

Tags / Kata Kunci: Culik

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan