Tiga Lelaki Ditahan Hasut Sertai Himpunan Basikal Menerusi FB

Diterbitkan: Ahad, 26 Februari 2017 4:12 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Polis menahan tiga lelaki warga emas kerana membuat kenyataan jelik dan fitnah berhubung kemalangan remaja berbasikal baru-baru ini serta menghasut orang ramai menyertai perhimpunan basikal menerusi laman sosial Facebook.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, mereka ditahan secara berasingan di Perak, Selangor dan Kuala Lumpur dengan dua daripada mereka ditangkap malam tadi manakala seorang lagi awal pagi Ahad.

"Lelaki pertama berumur 65 tahun dipercayai individu bertanggungjawab membuat kenyataan jelik dan menghasut orang ramai menyertai perhimpunan basikal menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan polis pada pukul 8 pagi Sabtu.

"Dia ditahan pukul 10 malam tadi di Ipoh, Perak selepas polis menerima satu laporan berkaitan penyalahgunaan laman sosial berkenaan pada pukul 8.28 pagi semalam," katanya menerusi kenyataan di sini, Ahad.

Wan Ahmad Najmuddin berkata hasil tangkapan itu, polis merampas dua kad sim dan satu telefon bimbit yang dipercayai digunakan lelaki tersebut untuk membuat kenyataan jelik dan hasutan berkenaan menerusi Facebook. 

Beliau berkata, menerusi penahanan kedua dan ketiga pula, polis menahan lelaki berumur 61 dan 64 tahun, masing-masing di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor serta Villa Taman Tasik, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur.

Menurut Wan Ahmad Najmuddin, kedua-dua mereka dipercayai membuat kenyataan jelik dan fitnah terhadap kes kemalangan maut yang melibatkan lapan remaja berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam, di sini pada 18 Februari lepas.

Katanya, penahanan itu dibuat pada pukul 11 malam Sabtu dan 2 pagi Ahad susulan laporan polis yang dibuat pada pukul 1.02 tengah hari Sabtu, berkaitan kenyataan tersebut di Facebook. 

"Polis turut merampas dua telefon bimbit berserta dua kad sim bagi siasatan lanjut dijalankan," katanya.

Ketiga-tiga lelaki tersebut disiasat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan. 

"Polis Johor ingin menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi bagi mengeluarkan kenyataan palsu dan kenyataan untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut dan mengganggu orang lain. 

"Orang ramai juga dinasihati tidak menyebarkan apa-apa kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman awam melalui mana-mana aplikasi komputer," katanya. - Bernama

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Kolumnis

iklan

Iklan