Wanita Maut Ditembak Di P.Pinang

Diterbitkan: Selasa, 21 Februari 2017 7:43 PM

Beberapa kesan das tembakan dilepaskan ke arah kereta dipandu seorang wanita di taman perumahan di Jalan Pekaka, Sungai Dua, Isnin. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Seorang ahli perniagaan wanita maut ditembak semasa memandu kereta BMW pada kira-kira 5.45 petang tadi di Taman Pekaka 1, Glugor dekat sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Zainol Samah berkata mangsa berusia 49 tahun itu memandu kereta miliknya itu seorang diri apabila dihampiri dua lelaki menunggang motosikal dan melepaskan lebih 10 das tembakan ke arahnya.

"Mangsa dikenal pasti seorang ahli perniagaan dalam bidang logistik perkapalan itu telah ditembak lebih 10 das dari cermin sisi pemandu. Daripada 10 tembakan itu enam das tembakan mengenai dadanya.

"Kereta dipandu mangsa kemudian hilang kawalan dan merempuh belakang sebuah pacuan empat roda di hadapannya sebelum melanggar tembok sebuah rumah di jalan Lintang Pekaka, di sini," katanya kepada pemberita di tempat kejadian, malam, Selasa.



Beliau berkata siasatan awal mendapati dakwaan bahawa mangsa ialah isteri kepada seorang anggota geng kongsi gelap bergelar "Datuk Seri" adalah tidak benar.

"Kita juga sedang siasat sama ada mangsa sedang mengandung atau sebaliknya," katanya.

Zainol berkata polis akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian berkenaan dan memohon semua pihak untuk tidak memutarbelitkan kejadian itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata polis sedang memburu dua suspek terbabit, dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di kawasan sekitar.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Sementara itu The Star Online melaporkan polis telah mengenal pasti wanita berkenaan sebagai Ruby Lee Poh Ai (gambar) dan menetap di Alila Homes di Tanjung Bungah di sini.

Tags / Kata Kunci: tembak mati , BMW , kes tembak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan