Lelaki Ditahan Keluarkan Kata-Kata Jelik Terhadap TMJ - Berita Jenayah | mStar

Lelaki Ditahan Keluarkan Kata-Kata Jelik Terhadap TMJ

Diterbitkan: Khamis, 9 Februari 2017 8:45 AM

- Gambar hiasan

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki dipercayai individu yang bertanggungjawab mengeluarkan kata-kata jelik terhadap Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman sosial Facebook.


Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata lelaki berumur 29 tahun terbabit ditahan kira-kira 3.50 petang tadi di hadapan sebuah hotel di Jalan Pendek, Kota Bharu, Kelantan, selepas polis bertindak atas satu laporan, Selasa.

"Polis kontinjen Johor menerima satu laporan pada 1.25 tengah hari semalam (Selasa) berhubung penyebaran satu rakaman video melalui Facebook yang menunjukkan seorang lelaki mengeluarkan kata-kata jelik terhadap Tunku Mahkota Johor.

"Penyebaran video tersebut merupakan satu perkara yang boleh menggugat keharmonian serta kesejahteraan rakyat," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Wan Ahmad Najmuddin berkata berikutan penahanan itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sehubungan itu, beliau berkata polis Johor menasihati orang ramai supaya tidak melakukan apa-apa rakaman video bagi mengeluarkan kenyataan palsu dan kenyataan untuk menyakiti hati, menganiaya, mengugut dan mengganggu orang lain.

Beliau berkata pihaknya turut mengingatkan orang ramai bahawa polis tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan