Bot Karam: Jaket Keselamatan Ke-4 Ditemui Di Brunei

Diterbitkan: Rabu, 8 Februari 2017 6:00 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Anggota pasukan mencari dan menyelamat bagi mengesan lima lagi mangsa bot pelancong yang karam pada 28 Januari menemui jaket keselamatan di perairan Brunei Darulssalam.

Bagaimanapun, pasukan itu tidak dapat mengesahkan sama ada objek yang ditemui pada petang Selasa itu daripada mangsa yang terlibat dalam tragedi melibatkan 31 orang, termasuk 28 pelancong warga China itu.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan, Kapten Abdul Rahim Ramli berkata, pihaknya perlu mendapatkan pengesahan syarikat yang mengendalikan operasi bot berkenaan berkaitan jaket keselamatan itu.

Penemuan jaket keselamatan itu menjadikan jumlah keseluruhan yang ditemui pasukan berkenaan mencecah empat sejak operasi itu bermula.

Tiga lagi jaket keselamatan ditemui pada 31 Januari, 1 Februari dan 4 Februari lalu.

Bagaimanapun, kata Rahim, tiada mana-mana pihak yang tampil mendakwa memiliki jaket keselamatan itu.

Mengenai operasi yang dijalankan, katanya, setakat ini tiada sebarang petanda kedudukan lima mangsa kejadian itu, termasuk empat pelancong China dan seorang kru.

"Kami masih meneruskan pencarian melibatkan kawasan seluas 1,475 batu nautika persegi merangkumi perairan Sabah, Miri (Sarawak) dan Brunei," katanya.

Rahim berkata, hanya lima daripada 20 rakyat China masih mendapat rawatan di wad Hospital Queen Elizabeth, manakala lapan lain telah dibenarkan pulang dan kini sedang berehat di hotel di bandar ini.

Selain itu, tujuh yang lain telah pulan ke China.

"Mayat mangsa telah dibakar beberapa hari lalu dan abunya dibawa pulang ke tanah air mereka," katanya sambil menambah satu lagi mayat akan dibakar pada 10 Februari ini.

Dalam kejadian 28 Januari lalu, bot yang membawa 28 warga China dan tiga kru karam ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum.

Dua kru berjaya diselamatkan berhampiran Pulau Tiga, manakala 23 pelancong ditemui di perairan Semarang, manakala tiga lagi maut.

Mangsa keempat ditemui pada Sabtu menjadikan jumlah mangsa keseluruhannya adalah empat.
Tags / Kata Kunci: jaket , APMM , Mengalum

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan