Penemuan Satu Jaket Keselamatan Petunjuk Baharu - APMM

Diterbitkan: Ahad, 5 Februari 2017 12:54 PM

Satu lagi mayat berjaya ditemui oleh nelayan tempatan pada Sabtu.

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Penemuan satu jaket keselamatan berwarna oren menjadi petunjuk baharu bagi pasukan mencari dan menyelamat (SAR) enam mangsa bot pelancong karam yang masih hilang di perairan Sabah.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata pasukan SAR dari Kapal Maritim Bangi menemui jaket keselamatan itu pada pukul 4.48 petang Sabtu.

"Jaket keselamatan itu ditemukan di kedudukan 30 batu nautika barat daya dari lokasi kejadian dan 25 batu nautika barat daya dari Pulau Mengalum.

"Ia berwarna oren selain tertera tulisan 'Marina' menggunakan pen penanda," katanya pada sidang media di sini Ahad.

Adam berkata jaket keselamatan berkenaan akan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut termasuk membawa jaket itu kepada pemilik bot pelancongan terbabit bagi proses pengecaman.

Mengulas bedah siasat mayat wanita yang ditemukan nelayan pukat tunda pada Sabtu, Adam berkata identiti mayat wanita itu masih belum dikenal pasti dan proses bedah siasat dan pengecaman masih dilakukan.

Menurutnya, anggota keluarga mangsa yang hadir ke Hospital Queen Elizabeth I di sini bagi membuat pengecaman tidak dapat berbuat demikian berikutan mayat berkenaan dalam keadaan reput.

"Untuk itu, ujian DNA akan dilakukan. Keputusan pengecaman akan diberikan selepas selesai laporan bedah siasat," katanya.

Pada Sabtu, nelayan tempatan menemukan satu mayat wanita berbaju merah dan berseluar hitam yang tersangkut pada pukat tunda mereka di perairan antara Pulau Mengalum dan Pulau Tiga pada pukul 9.25 pagi.

Mayat wanita itu ditemukan di kedudukan lapan batu nautika barat daya Pulau Mengalum dan 13 batu nautika timur laut daripada tempat bot karam serta 20 batu nautika barat laut Pulau Tiga.

Mengenai operasi SAR yang masuk hari kesembilan pada Ahad, Adam berkata usaha mencari mangsa yang masih hilang diteruskan membabitkan kawasan seluas 2,000 batu nautika persegi dengan memberi tumpuan ke lokasi di mana mayat wanita itu ditemukan.

Pencarian membabitkan perairan Sabah dan Miri, Sarawak serta Brunei itu melibatkan 15 aset masing-masing 11 kapal dan bot dan empat pesawat.

Adam berkata kira-kira 50 bot nelayan daripada persatuan nelayan di Kota Kinabalu, Kudat dan Labuan turut membantu dalam operasi ini dengan memasang pukat tunda di kawasan sektor pencarian.

Dalam tragedi 10 pagi Sabtu lepas, bot pelancong jenis katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal, karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum.

Setakat ini 25 mangsa dijumpai termasuk tiga yang maut. - BERNAMA


Tags / Kata Kunci: jaket keselamatan , bot karam , APMM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan