Diterbitkan: Rabu, 1 Februari 2017 6:25 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Nur Atikah Mohd Sharin, 21, gadis yang dilaporkan hilang sejak 26 Januari lepas, ditemui Selasa malam dan berada dalam keadaan selamat di Balai Polis Bandar Tenggara di Kulai, dekat sini.

Bapanya, Mohd Sharin Mahmood, 49, memaklumkan Nur Atikah diserahkan ke balai polis oleh seorang wanita berusia lewat 20-an yang tidak dikenali keluarganya dan didakwa menjaga anaknya selama enam hari.

Mohd Sharin berkata keluarga wanita berkenaan hanya mengetahui status kehilangan Nur Atikah selepas berita kehilangan itu disebarkan oleh media sebelum bertindak menyerahkannya ke Balai Polis Bandar Tenggara.

"Saya mendapat panggilan dari balai polis lebih kurang pukul 10 malam tadi (Selasa) yang menyatakan anak saya sudah ditemui. Saya terus bergegas ke sana (balai polis) sebelum membawanya pulang ke rumah keluarga kami di Taman Cendana, Pasir Gudang, 5 pagi tadi," katanya yang ditemui pemberita di Pejabat UMNO Parlimen Pasir Gudang di sini, Rabu.

Hadir sama, anggota Parlimen Pasir Gudang Datuk Normala Abd Samad.

Menurut Mohd Sharin, anak gadisnya itu tidak banyak berbual, namun, menyebut ada lelaki yang membawanya dari tempat kerja lalu ditinggalkan di sebuah pusat beli-belah di Kulai sebelum ditemui wanita berkenaan.

Beliau berkata keluarga wanita berkenaan yang menetap di Bandar Tenggara didapati telah menjaga Nur Atikah dengan baik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Jokhiri Abd Aziz berkata siasatan polis mendapati kes berkenaan tidak membabitkan sebarang unsur jenayah.

"Gadis itu dipercayai telah pergi ke rumah kawannya, namun, dia tidak memaklumkan kepada ibu dan bapanya. Malam tadi, gadis tersebut telah pun diserahkan di Balai Polis Bandar Tenggara dan polis menganggap kes ini telah selesai," katanya.

Nur Atikah yang mesra dipanggil kakak itu disedari hilang pada pukul 12.45 tengah hari, 26 Januari lepas selepas bapanya menerima panggilan daripada penyelia pasar raya di tempat Nur Atikah bekerja yang memaklumkan gadis itu tidak pergi ke tempat kerja.

Ekoran itu, Mohd Sharin membuat laporan di Balai Polis Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, pada keesokan harinya (27 Januari).

Tags / Kata Kunci: Nur Atikah Mohd Sharin , Hilang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan