Wanita Dirantai: Polis Mohon Orang Ramai Salur Maklumat

Diterbitkan: Isnin, 23 Januari 2017 3:45 PM

(Ubah saiz teks)

SERDANG: Polis masih berusaha mengesan seorang wanita berusia 29 tahun yang ditemuakan dalam keadaan dirantai di tepi jalan dekat Serdang Raya, Seri Kembangan di sini pada Ahad.

Kejadian itu pada mulannya disedari orang ramai yang melihat wanita berkenaan diikat menggunakan rantai besi dan ditinggalkan bersendirian di tepi jalan kira-kira pukul 9 pagi.

Wanita itu kemudiannya dibebaskan oleh sepasukan polis dan anggota bomba sebelum diambil oleh seorang lelaki yang mendakwa sebagai abangnya.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megar berkata, tiada laporan polis dibuat susulan kejadian itu.

Beliau menambah, pihak polis tidak mempunyai maklumat lanjut tentang wanita itu selain nama, umur dan alamat yang tertera pada Mykad miliknya.

"Seorang lelaki mendakwa sebagai abang kandungnya membawa wanita itu pergi dan kami merasakan dia tinggal di kawasan sekitar ini berdasarkan alamatnya.

"Berdasarkan siasatan lanjut, kami mendapati rumah tersebut telah lama ditinggalkan. Mungkin alamat itu merupakan alamat lama.

"Kami masih mengesan lokasi wanita tersebut," kata beliau pada sidang media di Seri Kembangan pada Isnin.

Megat Mohamad berkata, walaupun tiada laporan polis dibuat, pihaknya akan menyiasat sebab wanita itu dirantai di tepi jalan.

Pihaknya juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat itu agar menghubungi pihak polis menerusi talian 30-2052 9999 atau tampil ke balai polis berdekatan.

Berdasarkan siasatan The Star, rumah wanita itu berdasarkan alamat yang tertera pada MyKad, hanya terletak lima minit dari tempat dia ditemukan.

Rumah itu juga telah ditinggalkan kira-kira setahun.

Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, wanita itu pernah menyewa rumah itu bersama suami dan tiga anaknya sebelum mereka bercerai.

Wanita berkenaan juga dipercayai bekerja di sebuah kilang berhampiran.

Tags / Kata Kunci: Wanita Dirantai

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan