Operasi Pusat Hiburan: Dua Penjawat Awam Turut Ditahan

Diterbitkan: Sabtu, 14 Januari 2017 6:09 PM

Sebahagian daripada barang larangan dipercayai akan dijual kepada pelanggan pusat hiburan yang dirampas dalam operasi khas Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara (NRRET) dalam empat serbuan serentak di pusat-pusat hiburan pada Jumaat malam. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Dua penjawat awam antara 77 orang yang ditahan dalam empat serbuan serentak di pusat-pusat hiburan di sekitar bandaraya ini, lewat malam Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata operasi yang bermula pukul 12 tengah malam sehingga 9.00 pagi Sabtu merupakan kerjasama antara Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor dan Jabatan Siasatan Jenayah (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang diwakili oleh Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa.

“Hasil ujian air kencing mendapati dua daripada penjawat awam tersebut positif dadah jenis Amphitamine dan kita telah serahkan mereka kepada Pasukan Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut serta dalam operasi untuk menjalankan tindakan susulan," kata beliau. 

Daripada yang ditahan itu, enam individu yang dikehendaki polis atas pelbagai jenis jenayah, terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki berusia antara 21 dan 32 tahun, katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Menurut Kamarul Zaman, 56 wanita warga asing yang dipercayai bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) berusia antara 19 dan 34 tahun selain enam individu yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah terdiri daripada empat lelaki warga Nepal, seorang lelaki dan seorang wanita warga Myanmar. 

“Kita juga menahan tujuh individu yang berkhidmat sebagai penjaga pusat hiburan yang berumur antara 19 dan 50 tahun selain menyelamatkan lapan wanita warga Vietnam dan dua wanita warga China yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan dipaksa bekerja sebagai GRO.

“Operasi ini juga mendapat kerjasama daripada pegawai kanan Jabatan Peguam Negara, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” kata beliau.

Dalam operasi yang sama, pihaknya juga merampas berbagai jenis dadah seperti syabu, ketamine, pil ekstasi, rokok ganja dan pil erimin 5 yang bernilai lebih RM20,000 dipercayai untuk dijual kepada pelanggan pusat hiburan.

Turut dirampas sembilan buah mesin besar dan 32 buah mesin lain yang digunakan sebagai mesin perjudian haram.  

Tags / Kata Kunci: Pusat Hiburan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan