Asrama Desa SK Pekan Tongod Musnah Terbakar - Berita Jenayah | mStar

Asrama Desa SK Pekan Tongod Musnah Terbakar

Diterbitkan: Isnin, 9 Januari 2017 11:32 PM

Satu blok asrama desa Sekolah Kebangsaan Pekan Tongod yang menempatkan 32 murid lelaki dan 29 perempuan musnah dalam kebakaran pada Isnin. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

SANDAKAN: Satu blok asrama desa menempatkan 32 murid lelaki dan 29 murid perempuan Sekolah Kebangsaan Pekan Tongod, dekat sini, musnah dalam kebakaran pada Isnin, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.  

Komander operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Rentey Fred berkata, bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.37 petang dan segera menggegaskan sebuah jentera bersama lapan anggota bomba ke lokasi.

Beliau berkata, pihaknya hanya tiba di lokasi kebakaran pada jam 8.53 malam disebabkan jaraknya 163 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan.

Keseluruhan blok bangunan asrama desa itu musnah terbakar dan api dapat dikawal pada jam 9.33 malam, katanya.

Rentey berkata, operasi memadam api dijalankan dengan menggunakan air dari tangki jentera bomba dan turut mendapat bantuan tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam.

Beliau berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, murid yang tinggal di asrama tersebut kini ditempatkan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tongod. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan