Polis Tahan Wanita Disyaki Dera Anak Tiri

Diterbitkan: Sabtu, 7 Januari 2017 6:35 PM

Gambar mangsa dera dimuatnaik (Aisyah Haris) di laman sosial menjadi viral.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Polis menahan seorang wanita kerana disyaki mendera anak tirinya yang berusia 11 tahun pada 1 Januari lepas di sebuah rumah di Taman Seri Perantau, Pelabuhan Klang, dekat sini petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Alzafny Ahmad berkata wanita berumur 33 tahun itu ditahan pada 2.30 petang di rumahnya selepas ibu kandung mangsa membuat laporan polis Rabu lepas di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan. 

Menurut Alzafny siasatan awal mendapati kanak-kanak perempuan yang didera itu berada di bawah jagaan ibu tirinya setelah ibu bapa kandungnya berpisah tujuh tahun lepas.

Bapa mangsa mendapat hak penjagaan kanak-kanak itu selepas pasangan itu berpisah, katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

"Berdasarkan maklumat pengadu (ibu kandung mangsa), dia mengetahui tentang kejadian itu setelah bekas suaminya memberitahu anaknya sakit dan bengkak pada bahagian mata, Isnin lalu.

"Pengadu kemudiannya pergi ke rumah bekas suaminya pada Selasa lalu dan mangsa (anaknya) memberitahu dia telah dipukul dengan batang penyapu oleh ibu tirinya pada 1 Januari lalu, sebelum ibunya kemudian membuat laporan polis,"katanya.

Gambar mangsa yang bengkak dan cedera di bahagian mata tersebar di laman sosial selepas ia dimuat naik oleh ibunya.

Kata Alzafny, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Suspek direman sehingga Selasa (10 Jan) manakala mangsa kini stabil selepas menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang," katanya.-Bernama

Tags / Kata Kunci: dera anak tiri

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan