Remaja Lemas Selepas Selamatkan Rakan

Diterbitkan: Ahad, 1 Januari 2017 9:16 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hasrat seorang remaja lelaki menyelamatkan rakannya yang hampir lemas mengorbankan dirinya apabila dia tenggelam ke dasar air sebelum hilang dalam Kolam Hutan Lipur Lagong pada Ahad.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang Mohd Kasirin Ibrahim berkata dalam kejadian kira-kira 2.30 petang tadi, mangsa yang dikenali sebagai Narish, 15, dapat menyelamatkan seorang rakannya yang hampir lemas ketika mandi manda di pusat rekreasi itu.

"Berdasarkan temu bual dengan rakannya, mangsa sebelum itu telah terjun ke dalam kolam itu untuk selamatkan seorang rakannya yang hampir lemas dan berjaya menolak rakannya itu ke tepi kolam.

"Malangnya sejurus selepas itu, dia pula tenggelam ke dalam kolam dan hilang daripada pandangan rakan-rakannya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mangsa, yang berasal dari Setapak di sini, pergi ke tempat perkelahan itu bersama-sama 30 rakannya.

Mohd Kasirin berkata tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang diarah mencari dan menyelamat remaja itu.

Selepas mencari, mayat Narish ditemukan tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan hilang pada 3.37 petang.

Mayatnya dihantar ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat, katanya.

Tags / Kata Kunci: Lemas

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan