Indeks Jenayah Di Ipoh Menurun

Diterbitkan: Selasa, 27 Disember 2016 11:25 AM

GAMBAR HIASAN

(Ubah saiz teks)

IPOH: Kadar indeks jenayah di daerah Ipoh bagi tempoh Januari hingga November tahun ini mencatatkan penurunan kepada 1,957 kes berbanding 2,182 bagi tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata daripada semua kes itu, polis berjaya menyelesaikan kira-kira 47.52 peratus kes setakat ini.

"Jangan mudah bersikap selesa dengan pencapaian ini sebaliknya perlu menggandakan usaha untuk terus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini pada Selasa.

Pada majlis itu, Sum turut menyampaikan surat penghargaan kepada 44 pegawai dan anggota atas komitmen yang ditunjukkan ketika menjalankan tugas membanteras jenayah di daerah ini.

Dalam pada itu, Sum mengingatkan pegawai dan anggota IPD Ipoh supaya tidak sesekali mencuba atau terpengaruh dengan penyalahgunaan dadah kerana ia akan membinasakan kehidupan mereka.

"Walaupun hanya segelintir anggota polis yang terlibat, namun ia perlu ditangani kerana kegiatan yang tidak sihat itu tidak boleh dianggap perkara mudah dan tidak serius," katanya.

Sehubungan iti, Sum mahu ketua bahagian dan ketua polis balai termasuk penyelia memainkan peranan serta dan bertanggungjawab ke atas pegawai dan anggota di bawah seliaan masing-masing.

"Mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah perlu diambil tindakan mengikut prosedur operasi standard," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Sum Chang Keong

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan