Siasatan Terperinci Kenal Pasti Punca Kemalangan Bas Ekspres Di Pagoh

Diterbitkan: Isnin, 26 Disember 2016 1:35 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Polis akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan bas ekspres yang terjunam ke dalam curam sedalam 10 meter di Kilometer 137.3, Lebuhraya Utara Selatan arah utara berdekatan kawasan Rehat dan Rawat Pagoh, pada Sabtu lepas.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata penyiasatan bakal meliputi pelbagai aspek bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan sama ada disebabkan pemandu itu sendiri atau pun jentera.

"Kita akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain tidak kira dalam bidang teknikal dan bukan teknikal seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Puspakom Sdn Bhd bagi membantu kita menjalankan siasatan.

"Kita mahu mengenal pasti penyumbang utama kemalangan ini berlaku sama ada ia disebabkan kecuaian manusia atau berkaitan masalah teknikal iaitu bas dan jalan raya yang digunakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor Bahru, di sini, Isnin.

Mohd Zakaria berkata antara perkara yang akan diteliti adalah waktu rehat pemandu, penyediaan pemandu kedua dalam perkhidmatan, ketahanan dan kekerapan penyelenggaraan bas serta jadual perjalanan bas.

"Syarikat bas sebelum ini memaklumkan ada membekalkan pemandu kedua tetapi kesahihan dakwaan ini kita akan siasat. Kawasan lebuh raya itu memang pernah berlaku kemalangan tetapi bukanlah kerap sangat berlaku," kata beliau.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemungkinan besar kemalangan berlaku disebabkan faktor kelajuan bas kerana bas tidak melanggar mana-mana kenderaan lain, kesan tayar di atas jalan raya tidak menunjukkan kesan brek manakala siasatan ke atas bas serta laporan saksi ada menggambarkan kesan hentakan yang kuat.

Mohd Zakaria berkata tragedi yang menyedihkan itu telah menarik perhatian masyarakat termasuk pemimpin-pemimpin atasan dan pihaknya menasihatkan agar pemandu-pemandu tidak kira individu, keluarga atau penyedia perkhidmatan yang berada di jalan raya supaya sentiasa mengutamakan keselamatan.

Dalam nahas itu, seramai 14 orang maut, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berumur setahun, manakala 16 lagi cedera apabila bas yang dinaiki mereka terjunam ke dalam curam sedalam 10 meter lalu merempuh benteng konkrit di Kampung Jayor.

Tags / Kata Kunci: Pagoh , Alisan , Polis

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan