Dua Wanita 'Tukang Masak' Heroin Ditahan Polis

Diterbitkan: Rabu, 21 Disember 2016 3:39 PM

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ghafar Rajab (tiga,kiri) menunjukkan ketulan mampat heroin tulen semasa sidang akhbar mengenai rampasan dadah bernilai RM546,500 dan peralatan memproses dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada 21 Disember 2016. - BERNAMA

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Dua wanita jurujual tiket bas yang "pandai didapur" ditahan polis di Sungai Gelugor di sini Ahad lepas, kerana kepakaran mereka memasak heroin.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis menahan dua wanita berusia 29 dan 30 tahun dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios di kawasan itu kira-kira pukul 3 petang.

"Hasil pemeriksaan dalam kereta berkenaan polis menjumpai sebuah beg yang didalamnya mengandung satu peket heroin seberat 458 gram(g). Dipercayai dua wanita yang bekerja menjual tiket di sebuah stesen bas di Sungai Nibong itu sedang menunggu pelanggan mereka untuk menjual dadah tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

Katanya susulan penahanan mereka, polis menyerbu sebuah rumah di kawasan Butterworth, dekat sini dan merampas 15 peket heroin seberat 6.424 kilogram(kg) dan satu kotak berisi satu bungkusan serbuk putih disyaki kafein seberat 19 kg.

Beliau berkata pihaknya turut merampas pelbagai peralatan dan bahan-bahan untuk memproses dadah jenis heroin itu antaranya dapur gas, periuk, cecair-cecair kimia serta alat penimbang.

"Berdasarkan siasatan awal, dua wanita itu tinggal di rumah berkenaan dan mereka mempunyai kemahiran untuk memasak serta menghasilkan heroin menggunakan cara tradisional iaitu memasak menggunakan dapur gas berbanding masak menggunakan ketuhar gelombang mikro seperti sindiket dadah yang lain," katanya.

Abdul Ghafar berkata selepas siap memasak heroin, dua wanita itu akan menghantar kepada anggota sindiket sebelum ia dijual kepada pelanggan mereka.

Jumlah keseluruhan harga dadah yang dirampas itu kira-kira RM116,500, katanya.

Katanya ekoran penahanan dua wanita itu, polis menahan seorang lelaki berusia 52 tahun di sebuah flat di Bayan Lepas, dekat sini pada Selasa dan merampas 10 ketulan mampat heroin base seberat 3.72 kg bernilai RM430,000.

"Lelaki yang bekerja sebagai buruh itu dipercayai anggota sindiket dadah yang sama dengan dua wanita berkenaan. Polis juga kini sedang mengesan beberapa lagi anggota sindiket tersebut," katanya.

Abdul Ghafar berkata dua wanita itu direman sehingga 25 Dis ini manakala lelaki berkenaan direman sampai 27 Disember dan kes mereka disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Abdul Ghafar berkata tiga lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes seorang pemandu teksi ditemui mati dalam teksinya di Kampung Kebun Lama, di sini pada 4 Dis lepas telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Selasa.

 Katanya manakala seorang wanita warga Indonesia berusia 36 tahun yang turut ditahan bagi membantu siasatan kes itu masih direman dan siasatan mendapati hanya wanita berkenaan disyaki terlibat dalam kejadian itu.

"Wanita yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri itu masih direman dan polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan sebelum menyerahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Mayat seorang pemandu teksi ditemui dengan lima kesan tikaman dalam teksinya di hadapan sebuah pusat servis kereta di Jalan Terengganu di sini, kira-kira 1.50 pagi, 4 Disember lepas.

Susulan kejadian itu, polis pada 10 Disember menahan empat individu berkenaan bagi membantu siasatan dan dipercayai mangsa dibunuh ekoran dendam. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Heroin

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan