Penjenayah Ditembak Mati Di Kunak Terbabit Kes Dadah, Seludup, Rompakan Bersenjata

Diterbitkan: Isnin, 12 Disember 2016 6:19 PM

(Ubah saiz teks)

KUNAK: Dua penjenayah yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Ladang Tingkayu, dekat sini awal pagi Isnin, dipercayai bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah, penyeludupan dan rompakan bersenjata api.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, bertindak atas risikan dan maklumat awam, Ketua Polis Daerah (KPD) Kunak, Supt Mohd Nasaruddin M Nasir bersama sepasukan anggotanya membuat serbuan terhadap sebuah pondok di ladang kelapa sawit berkenaan kira-kira 1.30 pagi.

"Ketika dihampiri, polis mendapati ada pergerakan dalam pondok itu. Polis kemudian memperkenalkan diri dan meminta individu di dalam pondok berkenaan menyerah diri, namun mereka melepaskan beberapa tembakan.

"KPD Kunak memberi amaran sekali lagi, namun tidak diendahkan dan pihak polis membalas tembakan dan berlaku kejadian tembak menembak kira-kira dua hingga tiga minit," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Abdul Rashid berkata, sejurus selepas kejadian berbalas tembakan itu, polis membuat pemeriksaan dan mendapati dua lelaki, masing-masing berusia 30-an dan tiada pengenalan diri ditemui maut terkena tembakan di pondok berkenaan.

"Turut ditemui di tempat kejadian ialah dua laras senapang patah buatan sendiri, dua pucuk pistol, sejumlah peluru hidup dan kelongsong, satu laras senapang angin, dua pisau, dua parang dan beberapa butir peluru M16.

"Polis turut menemui antaranya tiga paket plastik lutsinar dipercayai dadah jenis syabu yang dijumpai di poket kiri salah seorang suspek serta beberapa peralatan disyaki digunakan untuk tujuan menghisap dan aktiviti penjualan dadah," katanya.

Abdul Rashid berkata, siasatan awal mendapati peluru M16 yang dijumpai bersama suspek terbabit bukan milik pasukan keselamatan di Malaysia.

"Kita sedang menyiasat kaitan suspek dengan kes-kes yang pernah berlaku di sekitar itu. Kita percaya suspek terbabit merupakan satu kumpulan dan siasatan teliti akan dibuat untuk mengesan saki baki kumpulan berkenaan," katanya.

Ketika ditanya mengenai kaitan suspek berkenaan dengan kes penculikan yang berlaku baru-baru ini, Abdul Rashid berkata pihaknya akan menyiasat perkara itu dengan lebih lanjut.

Pada masa sama, beliau berkata kejayaan dalam kes berkenaan adalah hasil maklumat yang disalurkan oleh orang ramai.

"Justeru, saya sangat berterima kasih kepada orang ramai dan berharap kerjasama mereka dapat diteruskan dalam memberi sebarang maklumat kepada pasukan keselamatan," katanya. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan