Dua Perompak Rempuh Kereta Ketika Melarikan Diri - Berita Jenayah | mStar

Dua Perompak Rempuh Kereta Ketika Melarikan Diri

Diterbitkan: Ahad, 11 Disember 2016 12:12 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA SELANGOR: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket samun dengan tertangkapnya dua lelaki yang mengalami kemalangan ketika dikejar pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ruslan Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 malam Jumaat.

"Satu pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Selangor sedang menjalankan rondaan apabila mereka terserempak dengan dua lelaki mencurigakan di Jalan TIAJ2 / 1, Alam Jaya.

"Mereka cuba untuk menghentikan motosikal itu tetapi suspek memecut dan salah seorang suspek menarik  keluar sebilah parang.

"Ketika dikejar polis, motosikal suspek telah merempuh sebuah kereta dan mereka gagal melarikan diri," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau berkata kedua-dua suspek yang mengalami kecederaan dalam kemalangan itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Ruslan berkata, kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam rompakan dua buah kedai runcit.

Kerugian berjumlah kira-kira RM17,498.

"Kita berjaya merampas parang, beberapa telefon bimbit dan pelbagai jenis kad prabayar daripada kedua-dua suspek berusia 17 dan 22.

"Kedua-dua suspek  dipercayai terlibat dalam lapan kes rompakan bermotosikal, ujar beliau.

Kumpulan itu juga dipercayai terlibat dalam rompakan sebuah kedai runcit yang dimiliki oleh seorang lelaki warga Bangladesh pada 4 Disember lalu.

"Kumpulan itu dipercayai aktif di Sungai Pelong, Batu Arang, Bestari Jaya dan Kuala Selangor," katanya, sambil menambah bahawa kedua-dua suspek telah ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi hotline polis di talian 03-2052 9999 atau ke balai polis berhampiran.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan