Geng Muruku Tumpas

Diterbitkan: Jumaat, 25 November 2016 6:20 PM

(Ubah saiz teks)

SUBANG JAYA: Kumpulan samun bersenjata yang dikenali sebagai 'Geng Muruku' tumpas selepas sembilan anggotanya termasuk dua wanita ditahan, sekali gus menyelesaikan 10 kes di Lembah Klang dan Selangor sejak tahun lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Supt Lee Swee Meng berkata kesemua suspek yang berumur 17 hingga 48 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan sepanjang minggu ini.

Beliau berkata polis menyerbu sebuah hotel di Puchong dan menahan dua lelaki dan merampas dua kereta sewa yang disyaki digunakan untuk menyamun pada pukul 2.24 pagi Selasa lalu.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, kami seterusnya menyerbu dua kawasan perumahan di Petaling Utama dan Taman Cuepacs, Kuala Lumpur serta menahan sepasang suami isteri dan dua lelaki yang merupakan anggota geng itu pada hari yang sama.

"Pada serbuan kedua itu, kami menemui pelbagai jenis telefon bimbit dan barangan kemas disyaki hasil samun mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya di sini, Jumaat.

Lee berkata hasil soal siasat membawa kepada penahanan seorang lelaki dipercayai ketua kumpulan itu bersama seorang wanita di sebuah hotel di Jalan Kelang Lama pada Rabu lepas.

"Serbuan terakhir dibuat semalam di sebuah rumah di Puchong Indah pada pukul 10.30 malam dan polis berjaya menahan seorang lelaki," katanya.

Menurut Lee, modus operandi kumpulan itu lazimnya menggunakan wanita yang akan menyamar untuk menghantar muruku atau hamper sebelum masuk dan menyamun rumah mangsa.

"Kesemua mereka direman tujuh hari sehingga Isnin depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Geng Muruku , Samun Bersenjata

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan