Tujuh Jam Padam Kebakaran Kilang Sarung Tangan Getah

Diterbitkan: Khamis, 24 November 2016 9:48 AM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

TAIPING: Anggota bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk memadam kebakaran di sebuah kilang sarung tangan getah di Kamunting di sini pada Rabu.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, kebakaran pada bahagian stor barang seramik dan kotak sarung tangan di kilang itu berlaku kira-kira 7.30 malam.

Katanya kebakaran yang memusnahkan 50 peratus bahagian stor itu turut mengakibatkan tumpahan cecair kimia jenis ammonia sebanyak 300 liter.

Bagaimanapun Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh yang membuat pengesanan dan pemeriksaan mengesahkan kawasan itu selamat. 

"Lapan jentera dengan kekuatan 86 anggota bomba terlibat dalam operasi mengawal dan memadam kebakaran itu," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.  

Beliau berkata operasi melibatkan anggota dari balai Kamunting, Taiping, Bagan Serai dan turut dibantu beberapa Pasukan Bomba Sukarela antaranya dari Parit Buntar, Baru Kurau, Nibong Tebal dan Juru selain Polis Diraja Malaysia dan Tenaga Nasional Bhd.  Operasi tamat sepenuhnya 2.40 pagi Khamis. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Kebakaran sarung tangan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan