Ahli Perniagaan, Dua Anak Maut Dalam Kemalangan

Diterbitkan: Rabu, 23 November 2016 7:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Seorang ahli perniagaan dan dua anaknya terbunuh dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di kilometer 3.5 Jalan Ipoh-Lumut dekat Puncak Jelapang Maju di sini.

Muhammad Syafiq Isyammuddin, 25, dan anaknya, Aniq Hamzah, setahun dan Umrah Yunma, 2, tercampak keluar dari kereta pacuan empat roda mereka dan maut serta merta di tempat kejadian.

Insiden berlaku kira-kira 1.15 pagi Selasa.

Isterinya, Nurul Nadia Baharizan, 28, dan nenek dua kanak-kanak itu, Khalijah Samad, 79, mengalami kecederaan serius dan menerima rawatan di Raja Permaisuri Bainun Hospital di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata insiden itu turut melibatkan dua lagi kereta jenis sedan.

Salah sebuah kereta sedan yang dalam perjalanan dari Seri Iskandar menuju Ipoh bergesel dengan kenderaan Mitsubishi Triton yang dipandu Muhammad Syafiq dari arah Ipoh menyebabkan ia memasuki laluan bertentangan.

Kereta sedan kedua yang berada di belakang sedan pertama cuba untuk mengelak menyebabkan kenderaannya berpusing melambung lalu bertembung dengan kenderaan yang dipandu Muhammad Shafiq sebelum jatuh semula ke atas jalan.

Wan Jamil berkata pemandu kereta sedan kedua, Thean Yew Weng mengalami cederah parah telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk menerima rawatan.

Menurut beliau, polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

Bapa kepada Nurul Nadia, Kolonel Baharizan Zainal Abidin, 55, berkata anak sulungnya itu yang patah kaki dan tangan serta mengalami pendarahan pada hati terkejut apabila mengetahui suami serta dua orang anaknya meninggal dunia.

"Semasa kami membawa kedua-dua jenazah anaknya ke wad kecemasan, anak saya yang masih berada dalam separuh sedar terlalu sedih dan tidak menyangka suami serta anak-anaknya telah meninggal dunia.

"Saya sebagai bapa menasihatkan dia supaya banyakkan bersabar dan menerima ketentuan Ilahi," katanya ketika ditemui pemberita selepas pengebumian itu.

Baharizan berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan anak, menantu serta kedua-dua cucunya ialah pada Aidiladha lalu dan mereka sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur minggu depan untuk berjumpa dengannya.

Beliau reda dengan pemergian menantu serta kedua-dua cucunya itu.

Tags / Kata Kunci: tiga beranak , maut , kemalangan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan