Perhimpunan Bersih Dik Kota Kinabalu Langgar Akta Perhimpunan Aman - Berita Jenayah | mStar

Perhimpunan Bersih Dik Kota Kinabalu Langgar Akta Perhimpunan Aman

Diterbitkan: Rabu, 16 November 2016 1:58 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Perhimpunan Bersih 5 yang akan diadakan di Taman Ujana Rimba di sini Sabtu ini melanggar undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, kata Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP M. Chandra.

Beliau berkata pihaknya telah menerima notis pemberitahuan daripada pihak penganjur, namun notis berkenaan tidak lengkap serta tidak menepati syarat dan peraturan.

"Pada 2 Nov lalu, kita telah menerima notis pemberitahuan itu. Tetapi ia tidak lengkap kerana gagal mendapatkan persetujuan tuan premis, hingga menyukarkan pihak polis untuk memproses notis berkenaan.

"Kita juga telah memanggil pihak penganjur dan telah memberi pemberitahuan secara rasmi bahawa perhimpunan yang bakal diadakan itu tidak mematuhi peraturan di bawah Akta Perhimpunan Aman" katanya kepada pemberita pada majlis perasmian bangunan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV) IPD Kota Kinabalu di sini, Rabu.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Awang Sahari Em Hadzeer.

Chandra meminta orang ramai supaya tidak menghadiri perhimpunan itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

"Untuk persiapan menghadapi perhimpunan itu, pihak polis telah bersedia dengan kekuatan yang secukupnya untuk mengawal kententeraman dan lalu lintas pada hari tersebut," katanya.

Mengenai URB dan MPV itu, Awang Sahari berkata dengan adanya pejabat baharu yang lebih selesa, pihaknya percaya URB dan MPV IPD Kota Kinabalu akan dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih kemas dan berkesan.

"Bangunan baharu ini akan menempatkan sebanyak 56 motosikal dengan seramai 57 anggota termasuk seorang pegawai dan 36 MPV dengan kekuatan 86 anggota," katanya.

Tags / Kata Kunci: Kota Kinabalu , Sabah , Bersih
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan