Pecah Amanah: Kerani Syarikat Sawit Ditahan

Diterbitkan: Khamis, 10 November 2016 12:32 PM

(Ubah saiz teks)

MIRI: Polis menahan seorang kerani wanita di sebuah syarikat sawit di sini kerana disyaki melakukan pecah amanah berjumlah kira-kira RM312,000.

Jumlah itu dipercayai ada kaitan dengan pembayaran levi pekerja asing.

Kerani itu turut disyaki mencuri kira-kira 396 keping pasport milik pekerja asing yang disimpan di dalam peti keselamatan di pejabat tersebut.

Ketua Polis Miri ACP Khoo Leng Huat mengesahkan kerani itu ditahan di rumahnya pada malam Rabu.

"Pengurus syarikat itu telah membuat laporan polis terhadap kerani itu yang disyaki mengambil semua pasport yang disimpan di dalam peti keselamatan.

"Kerani itu juga disyaki memalsukan resit bayaran levi pekerja.

"Wanita itu didapati tidak membuat bayaran kepada Jabatan Imigresen dan dia menggunakan wang tersebut untuk keuntungan sendiri," katanya di sini, Khamis.

Jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM312,000.

Kerani itu juga tidak datang bertugas sejak 1 November lalu dan tindakan itu menguatkan lagi rasa curiga terhadapnya.

Polis turut merampas buku akaun bank dan kad ATM serta beberapa dokumen lain dari suspek.

Dia direman untuk siasatan lanjut.

Tags / Kata Kunci: pecah amanah , kerani , syarikat sawit

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan