Pasangan Dari Jerman Diserang Ketika Belayar Di Perairan Tawi-Tawi

Diterbitkan: Isnin, 7 November 2016 6:43 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Seorang lelaki Jerman berusia 70 tahun diculik dan isterinya dibunuh oleh kumpulan lelaki bersenjata Abu Sayyaf di perairan Tawi-Tawi, pulau di selatan Filipina.

Sumber perisikan Filipina berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi Isnin di perairan Tanjung Luuk Pisuk di Tawi-Tawi.

Menurut sumber, pasangan itu, Juegen Kantner dan Sabina Wetch, sedang berada di atas kapal layar persendirian di Tanjong Luuk Pisuk, di mana dalam bahasa Tausug bermaksud air lumpur.

Wetch dikatakan telah ditembak mati manakala Kantner telah diculik.

Jurucakap Abu Sayyaf, Muamar Askali atau Abu Rami memberitahu media Filipina bahawa kumpulan itu telah menculik seorang lelaki Jerman dan membunuh isterinya di Tawi-Tawi.

Beliau berkata wanita cuba melawan dan telah ditembak mati dalam pertempuran itu.

Pasangan itu, yang pernah diculik di Somalia pada tahun 2008, telah belayar dari Palawan, sebuah pulau di utara Sabah, dan lalu di Tawi-Tawi, perairan bersempadan Sabah apabila kejadian itu berlaku.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Wan Bari Wan Abdul Khalid berkata mereka mendengar mengenai kejadian itu di Internet tetapi tidak menerima sebarang laporan rasmi.

"Kami tidak menerima apa-apa laporan polis, maklumat atau aduan rasmi daripada mana-mana kelab kapal layar mengenai perkara itu," katanya dalam mesej teks, Isnin.
Tags / Kata Kunci: Abu Sayyaf , kes culik , Tawi-Tawi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan