PGA Rampas Rokok Seludup Bernilai RM1.5 Juta

Diterbitkan: Sabtu, 5 November 2016 4:59 PM

GAMBAR HIASAN

(Ubah saiz teks)

KLUANG: Sebanyak 300,500 kotak rokok putih pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM1.5 juta dirampas dalam dua operasi Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini pada Khamis lepas.

Komander PGA Briged Tengah SAC Adzaman Mohd Jan berkata operasi masing-masing pada 11.40 malam dan 12.30 tengah malam itu dilakukan berdasarkan maklumat risikan.

Menurutnya, daripada keseluruhan rokok yang dirampas, sebanyak 150,500 kotak ditemukan dalam sebuah lori yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun di kawasan berhampiran Taman Sri Lambak, Simpang Renggam.

Beliau berkata baki sebanyak 150,000 kotak pula dijumpai ketika pemeriksaan ke atas sebuah lagi lori yang turut dipandu seorang lelaki tempatan berusia 23  tahun di simpang tiga Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini.

Katanya, kesemua rokok itu terdiri daripada jenama Soho (23,5000 kotak); 92,000 kotak jenama Manchester Menthol; 34,500 kotak jenama Manchester Blue; 500 kotak jenama 9th Century; dan 150,000 kotak jenama Saat.

Beliau berkata ia dipercayai diseludup masuk dari Indonesia melalui kawasan perairan untuk dijual dengan harga antara RM4 hingga RM7.50 sekotak di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan beberapa negeri lain.

"Siasatan awal mendapati suspek mempunyai kaitan dengan satu sama lain dan telah beroperasi sejak sekian lama.

"Mereka tidak mempunyai rekod jenayah dan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang untuk direman selama empat hari bermula hari ini," katanya.

Selain itu, katanya polis turut merampas dua kenderaan yang diguna suspek serta tujuh nombor pendaftaran kenderaan yang ditemukan disorok di bawah tempat duduk pemandu.

Adzaman berkata ini merupakan rampasan terbesar dilakukan oleh pihaknya  tahun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, yang jika sabit kesalahan membawa hukuman denda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya. -  BERNAMA

Tags / Kata Kunci: PGA , Rokok

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan