Wanita Vietnam Dibelenggu Hutang Cuba Bunuh Diri

Diterbitkan: Jumaat, 21 Oktober 2016 6:33 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: "Bomba adalah orang yang baik, saya datang nak selamatkan kamu, kalau sayang nyawa kamu, capailah tangan saya," kata seorang pegawai bomba kepada seorang wanita pekerja pusat karaoke yang cuba terjun dari tingkat 12 apartmen di Desa Aman Putri, Kepong awal pagi Jumaat.

Menurut Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamed Sabri A Shamsudeen, beliau menggunakan kemahiran berbahasa Mandarin untuk memujuk wanita warga Vietnam berusia 21 tahun itu dalam kejadian 7.40 pagi tadi.

"Wanita yang duduk berseorangan di atas tebing luar tingkap rumah sewanya di bangunan berkenaan akhirnya membatalkan niatnya untuk terjun dan menghulurkan tangannya kepada saya kira-kira 10 minit kemudian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Jumaat.

Mohamed Sabri berkata wanita itu yang tinggal bersama rakan sekerjanya di rumah berkenaan kemudian menangis dan mengadu yang dia mengalami tekanan kerana diganggu along akibat berhutang.

Beliau berkata seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh dikerahkan ke lokasi, sebaik menerima panggilan pada 7.45 pagi tadi bagi menyelamatkan mangsa yang dilihat orang ramai duduk berseorangan di luar tingkap rumahnya.

Katanya wanita itu berjaya ditarik ke dalam rumah dengan bantuan dua anggota sebelum ditenteramkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut pada kira-kira 8.35 pagi. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Bunuh Diri

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan